• Bahana api ubat nyamuk
 1 / 1 
TUMPAT – Api lingkaran ubat nyamuk nyaris memusnahkan rumah banglo bernilai RM350,000 di sini, apabila sebuah bilik tidur tingkat atasnya terbakar dalam kejadian awal pagi semalam.

Kebakaran kira–kira jam 6.30 pagi di Kampung Bunut Sarang Burung itu disedari anak pemilik rumah, Ahmad Rozaini Muhamad, 20, yang terdengar bunyi letupan kecil di bilik bersebelahan biliknya.

Ayahnya, Muhamad Awang Lah, 54, berkata, dia terkejut apabila diberitahu Ahmad Rozaini bilik tidur di tingkat atas terbakar.

"Beberapa minit sebelum itu saya juga ada terdengar bunyi letupan kecil seperti ada benda terbakar tetapi tidak menyangka bilik tidur di tingkat atas yang terbakar.
"Saya terus naik untuk melihat apa yang berlaku, ketika itu saya sedang menyapu di halaman rumah," katanya.

Tindakan pantas Muhamad bersama anaknya, Ahmad Rozaini memunggah air dengan baldi berjaya memadamkan kebakaran tersebut.
Muhamad berkata, ketika dia membuka pintu bilik tersebut, api sedang marak membakar kipas, tilam dan almari baju.

"Dalam keadaan panik, saya terus menyimbah air yang diambil dari bilik air berdekatan untuk memadamkan api marak itu. Alhamdulillah api berjaya dipadamkan dan menyelamatkan kami lapan beranak," katanya yang bekerja sendiri manakala isterinya, Noridah Mohd Nor, 52, kakitangan Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat.

Menurutnya, bilik yang terbakar itu adalah bilik tidur anak sulungnya, Mohd Razimi, 26, yang menyalakan lingkaran ubat nyamuk kerana elektrik terputus jam 3 pagi.
"Mohd Razimi terselamat daripada kebakaran tersebut kerana ketika kejadian dia tiada di dalam bilik selepas subuh," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Tumpat, Ya’acob Abdullah berkata pihaknya menerima panggilan kira–kira jam 7.08 pagi.

"Sebuah jentera dari Balai bomba Tumpat bersama lima anggota bergegas ke lokasi kejadian, ketika anggota bomba sampai api sudah padam," katanya.

Menurutnya, punca kejadian disebabkan api lingkaran ubat nyamuk dan kerugian dianggarkan RM150,000 apabila perabot dan barangan elektrik di dalam bilik tersebut hangus terbakar.