Artikel Terkini

Friday, September 1, 2017

Drama Duda Pujaan Dara Bersiaran 04 September 2017 Akan Datang/ Drama Adaptasi Novel 2017

♥ Assalamualaikum ♥

Drama Duda Pujaan Dara Bersiaran 04 September 2017 Akan Datang/ Drama Adaptasi Novel 2017 : Tajuk novel dah gempak. Layan sinopsis makin menarik je. Novel mengisahkan si dara yang tergila-gila si duda. Wow menarik. Adaptasi ini bakal ditayangkan di slot MegaDrama Astro Ria HD. Drama adaptasi Novel Duda Pujaan Dara ini bakal menampilkan gandingan mantap Kamal Adli dan Zahirah Macwilson. 


Sinopsis Novel Duda Pujaan Dara : Si dara yang bercita-cita mahukan si duda. Katanya duda banyak pengalaman. Pelik-pelik sahaja impian Ainee Marwah.
Lalu, Ainee Marwah bertemu dengan Tengku Razeen. Si duda yang mempunyai anak satu. Dia merupakan bos di tempat kerja Ainee Marwah. Seorang lelaki yang sudah kematian isteri dan mahu mencari pengganti demi anak tercinta, Tengku Rafanda.
Sikap Ainee Marwah yang gedik mahukan duda mana boleh ditahan-tahan. Maka, dia rancang bermacam-macam cara untuk pikat si duda pujaan. Senyum sudah, langgar bahu sudah, main mata sudah, malah jatuh tergolek pun Ainee Marwah sanggup demi mahu menarik perhatian Tengku Razeen.
Usaha bagai nak rak, tetapi lelaki itu tetap kaku macam paku. Muka ketat pakai skru. Lagi yang buat Ainee Marwah sakit hati, Tengku Razeen cair hati pula bila bersama dengan Dora yang Ainee Marwah gelar… Doraemon!
“Botol kicap, botol cuka. Saya ni bermimpi ke?”- Ainee Marwah
“Kain sutera, kain guni. Saya tanya betul-betul ni.– Tengku Razeen

Rasa mahu berhenti jantung Ainee Marwah bila Tengku Razeen tiba-tiba melamarnya. Bercinta dengan Dora, tapi dia yang dilamar. Fuh! Mencabar rupa-rupanya berkahwin dengan lelaki bergelar duda.
Ikan kembung, ikan yu. I love you… – Ainee Marwah
Pengkalan Batu, Pengkalan Chepa. I love you tu apa?- Tengku Razeen
Sakitnya hati bila suami tidak romantik. Tapi, Ainee Marwah tidak berputus asa. Kalau sebelum kahwin dia sudah nakal, selepas berkahwin bertambah nakal. Dia sanggup lakukan apa sahaja untuk beli hati Tengku Razeen.


Novel Duda Pujaan Dara Bab 13 

“KERJA macam ni pun awak tak boleh nak buat ke?” sergah Tengku Razeen sambil hempas sebuah fail di atas mejanya.
Terangkat bahu Airis dengan tindakan Tengku Razeen. Dia tidak berani mahu bertentang mata dengan bos yang sedang naik angin itu.
“Sorry, Tengku.” Itu sahaja yang mampu Airis ucapkan.
Selebihnya dia hanya menekur ke lantai. Memandang hujung kasut tumit tingginya yang bertutup.
“Hmm. Tak apalah. Next time tolonglah semak betul-betul sebelum serahkan kat saya. Saya tak ada masa nak tengok kesalahan-kesalahan kecil awak.” Tengku Razeen kembali rasional.
Airis mengangguk dan mengambil fail di atas meja Tengku Razeen. Cepat-cepat dia berjalan keluar apabila sudah tidak diperlukan. Muram sahaja wajahnya. Sebelum menyambung kerjanya kembali, Airis ke pantri untuk membancuh kopi. Dia perlukan kopi untuk tenangkan diri sebelum mula bekerja.
“Mak ai, masam betul muka kau. Kenapa?” tegur Ainee Marwah yang turut sama menuju ke pantri.
“Anak raja dalam bilik itulah. Bad mood pulak dia pagi-pagi ni,” rungut Airis.
“Mengikut kajian, makan coklat boleh hilangkan stres.” Ainee Marwah mula mengeluarkan segala kajian yang dibaca.
“Habis tu, kau nak aku makan coklat ke kau nak suruh Tengku Razeen makan?” Airis mengerling wajah Ainee Marwah yang turut membancuh kopi.
“Aku tak ada coklat nak bagi, tapi…” Ainee Marwah berhenti sejenak.
Dia mengambil satu bekas yang tersimpan di dalam peti ais dan ditunjukkan kepada Airis.
“Aku ada bawak kek coklat. Kau tak ingat ke semalam aku jadi chef kat dapur?” soal Ainee Marwah sambil suakan beberapa potong kek coklat di dalam bekas tersebut.
“Bagus juga tu. Bak sini aku nak makan.” Sudu di dalam bekas diambil dan Airis bersedia mahu mengambil sepotong kek coklat buatan Ainee Marwah itu.
“Eh, nanti dulu. Sebelum kau makan, kau ambik sepotong kek ni, pergi bagi kat anak raja pujaan aku tu.”
Lincah tangan Ainee Marwah mengambil sepotong kek dan diletakkan cantik-cantik di piring. Kemudian dia sua kepada Airis.
“Hisy, nak makan kek pun tak senang. Tapi, aku takutlah nak masuk,” balas Airis.
“Kalau macam tu biar aku yang bagi.” Laju sahaja Ainee Marwah menawarkan diri.
“Eh, tak payah! Nanti tak pasal-pasal dia tahu kita bergosip pasal dia. Biar aku yang hantar,” tegah Airis.
“Tak apa. Kau duduk sini diam-diam makan kek, ya. Tengku Razeen tengok muka aku sekejap lagi mesti dia hilang stres.” Ainee Marwah ketawa manja.
Terus piring di tangan Airis diambil dan cepat-cepat dia berjalan menuju ke bilik Tengku Razeen.
AINEE MARWAH dengan senang hati mengetuk pintu dan masuk ke dalam bilik duda pujaannya itu.
Sepicing pun Tengku Razeen tidak memandang ke arah Ainee Marwah. Dia sangkakan Airis yang masuk ke biliknya. Ainee Marwah berdeham barulah Tengku Razeen memanggung kepala.
Sesaat mata mereka bertentangan kemudian anak mata Tengku Razeen jatuh ke tangan Ainee Marwah yang sedang memegang sepiring kek coklat.
Dia tidak terkejut dengan kehadiran Ainee Marwah yang secara tiba-tiba di situ. Sudah lali dengan sikap gadis yang ikut suka sahaja masuk ke biliknya. Tengku Razeen tunduk memandang kertas kerjanya semula.
“Kek tu untuk saya ke awak nak pegang sampai habis waktu kerja, Ainee?” soal Tengku Razeen lembut.
“Err… Ya, Tuanku.”
“Hah?”
“Err… Tak. Maksud saya, ya kek ni untuk Tuanku. Kajian yang pernah saya baca, coklat boleh membantu untuk melegakan stres.” Dia ulang kembali fakta yang dia beritahu kepada Airis tadi.
Walaupun Tengku Razeen tidak berkata apa-apa, tapi jelas Ainee Marwah boleh nampak bibir lelaki itu mengukir senyum. Bila dia lihat Tengku Razeen senyum, barulah Ainee Marwah berani bersuara lebih.
“Tuanku berehatlah sekejap. Makan kek ni dulu. Saya letak kat meja kopi ni ya, Tuanku?” ujar Ainee Marwah sambil meletakkan perlahan-lahan piring tersebut di atas meja kopi.
Kemudian dia berjalan menghampiri daun pintu.
“Thanks, Ainee.”
Ainee Marwah berpaling dan tersenyum sambil mengangguk sebelum keluar dari bilik Tengku Razeen.
PINTU bilik terbuka, dua pasang mata tepat memandang ke arah Tengku Razeen. Mereka tersengih-sengih melihat Tengku Razeen yang hanya berdiri tegak memandang mereka.
“Hmm, Ainee. Thanks for the cake. Sedap. Awak ke yang buat kek Airis?” soal Tengku Razeen kepada Airis pula.
“Eh, bukan saya buat, Tengku. Ini orangnya yang pandai buat kek.” Airis senggol bahu Ainee Marwah.
Sengaja dia promosi sikit kawan baiknya yang sudah lama angaukan Tengku Razeen.
Ainee Marwah tersengih malu-malu.
Tengku Razeen pula hanya memandang kelakuan Ainee Marwah. Seperti biasa, tanpa segaris senyuman.
“Thanks.” Itu sahaja ucapan yang Tengku Razeen berikan.
“Sama-sama, Tuanku. Kalau Tuanku suka, hari-hari saya buatkan kek. Tuanku tinggal suruh Airis ni ambil dalam peti aje.” Lebih-lebih pula Ainee Marwah.
“Eh, tak apa. Kek tak boleh makan selalu. Nanti gemuk macam awak, susah saya.”
Dang! Terhenti terus sengihan Ainee Marwah. Dia memandang diri sendiri. Gemuk ke aku? Kemudian kepalanya kembali mendongak ke wajah lelaki berukuran hampir enam kaki ini.
Tengku Razeen tidak menoleh pun ke arah Ainee Marwah walaupun dia boleh lihat dengan jelas mimik muka gadis itu yang seperti tidak berpuas hati sahaja. Dia kemudiannya berpusing dan berjalan keluar dari pejabatnya.
Kepala Ainee Marwah terus berpusing memandang Airis apabila dia menangkap bunyi ketawa halus dari bibir kawannya itu.
“Eh, apasal kau gelak? Kau tak dengar ke apa dia cakap tadi? Dia kata aku gemuk?” tutur Ainee Marwah perlahan.
Dia melihat tubuhnya lagi. Dia betul-betul tak puas hati.
“Mana ada kau gemuklah. Tengku Razeen melawak aje tu,” balas Airis.
Malas dia mahu panjang-panjangkan cerita. Nanti dia juga yang terpaksa melayan kerenah Ainee Marwah.
“Okey hari ni aku tak nak makan. Nak diet!” bentak Ainee Marwah. Laju kakinya berjalan keluar dari pejabat.
SAMPAI di restoran kegemaran mereka, mata Ainee Marwah terus tertancap ke arah Tengku Razeen yang kelihatan mesra dengan seorang wanita. Kali ini wanita itu bukan wanita yang kali pertama mereka nampak makan bersama dengan Tengku Razeen.
“Playboy juga rupa-rupanya duda pujaan kau tu ya, Ainee,” bisik Airis sambil pura-pura memandang ke arah lain.
Risau kalau-kalau Tengku Razeen perasan yang mereka sedang memerhatikannya.
“Siapa perempuan tu?” soal Ainee Marwah.
“Entah. Tak pernah pulak dia datang pejabat jumpa dengan Tengku Razeen. Kawan dia agaknya,” balas Airis.
“Bertambah-tambah hilanglah selera aku nak makan.” Ainee Marwah merenung ke arah lain.
Entah kenapa hatinya betul-betul rasa sakit melihat kemesraan mereka. Perasaan cemburu yang tidak sepatutnya ada sedang meluap-luap dalam diri Ainee Marwah.
“Alah, janganlah macam ni Ainee. Takkan sebab Tengku Razeen kau tak nak makan,” pujuk Airis.
“Aku tak ada seleralah.” Sayu sahaja suara Ainee Marwah pada pendengaran Airis.
“Ainee, kau lupakan ajelah Tengku Razeen tu. Kita ni siapa nak bergandingan dengan dia. Lagipun buang masa kau aje mengurat duda tu. Dia sikit pun macam tak hargai apa kau buat. Kau muda lagi, cantik, mesti akan dapat yang sepadan dengan kau.” Airis terus memujuk.
Ainee Marwah menggeleng.
“Tak. Aku belum buat apa-apa lagi. Aku belum buat lagi perkara yang akan membuka mata hati Tengku Razeen. Belum.” Ainee Marwah berhujah.
Airis melepaskan keluhan. Dia sudah masak dengan sikap Ainee Marwah yang tidak mudah putus asa.
“Apa yang kau akan buat untuk buka mata hati Tengku Razeen?” soal Airis lembut.
Ainee Marwah menggeleng lagi.
“Entah. Aku belum tahu lagi apa dia. Tapi, aku pasti mesti ada sesuatu yang akan aku buat. Sesuatu yang membuka hati Tengku Razeen.” Ainee Marwah tersenyum manis.
Berkerut-kerut dahi Airis mahu mencerna maksud di sebalik kata-kata Ainee Marwah. Dia pun harap begitu. Dia kasihankan Ainee Marwah yang setiap hari memuja dan mendamba lelaki itu akan menjadi teman sehidup sematinya.

1 comment:

  1. Ini bukan sinopsis dah ni, jalan cerita A-Z di siarkan di sini.

    Pasti ceritavini menarik minat gadis-gadia dara melihatnya.

    Dudakan banyak pengalaman.

    ReplyDelete