SEJAK kebelakangan ini, karya dari novel mula menjadi pilihan penerbit untuk diadaptasi sama ada dalam bentuk drama bersiri, telefilem dan filem.

Meskipun ada beberapa karya yang diadaptasi menampilkan jalan cerita yang hampir serupa, namun ia tetap mendapat sambutan.

Bagaimanapun bagi mencari kelainan dalam karya adaptasi, Primeworks Studios Sdn Bhd memilih untuk mengadaptasi novel Diam Diam Rindu karya novelis Syahirah Ibrahim ke bentuk telefilem.

Menariknya mengenai novel terbitan Buku Prima ini, ia menampilkan jalan cerita yang berbeza dengan kisah konflik dalam sebuah keluarga yang berpunca daripada sebuah kemalangan.

Diarahkan oleh Haris Kadir, telefilem yang akan ditayangkan pada 13 Jun ini, di saluran Cerekarama, TV3 menampilkan barisan pelakon hebat seperti Nad Zainal, Amar Asyraf, Wan Sharmila dan Afiq Muiz.

Menurut Haris, tidak banyak perubahan dilakukan daripada novel, namun diringkaskan agar jalan cerita dapat disampaikan dalam masa kurang dua jam.

"Kalau ikutkan pembikinan telefilem ini tidaklah rumit, namun tetap memberi cabaran yang tersendiri kepada saya kerana saya harus percepatkan perubahan yang berlaku pada Nur Iman lakonan Nad Zainal.

"Dari segi jalan cerita ada beberapa penambahan dan perubahan tetapi tidaklah sampai lari dari cerita asal. Penambahan yang dilakukan pun disesuaikan dengan cerita," katanya.

Tambah Haris, penggambaran telefilem ini dilakukan sekitar akhir April lalu dan siap pada Mei dan mereka menjalani penggambaran di sekitar Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah tidak banyak masalah yang timbul di lokasi. Hanya kadangkala cuaca yang tidak menentu menyebabkan ada babak berlarutan sehingga tiga hari.

"Cuma ada sekali saya terpaksa tangguhkan penggambaran kerana Nad perlu terbang ke London kerana komitmen lain. Tapi saya puji dia walaupun banyak komitmen, bila di set, dia mampu bawakan watak dengan baik," jelasnya.

Diam Diam Rindu mengisahkan seorang gadis bernama Nur Iman yang dipersalahkan oleh ibunya, Puan Nora atas kematian Maisara, anak emas keluarga mereka ekoran kemalangan jalan raya.

Nur Iman juga  tertekan kerana sering dibuli Imran di universiti. Nur Iman masih kuat atas sokongan rakan karibnya iaitu Diana. Diana memperkenalkan Nur Iman dengan abangnya, Faris dan membuahkan bibit cinta.

Suatu hari, Puan Nora tiba-tiba memaafkan Nur Iman tapi dengan satu syarat iaitu Nur Iman hendaklah berkahwin dengan pilihannya.  Nur Iman bersetuju untuk bertunang dan menyambung pelajarannya di luar negara.

Setelah lima tahun, Nur Iman pulang ke tanah air dan pertemuan pertama Nur Iman dengan tunangnya, Imran, pembuli yang sering mengganggu Nur Iman di universiti dulu amat mengejutkan.  Lebih menambahkan kekusutan apabila Faris, masih mengejar cinta Nur Iman.


Penulis terkejut

Bagi novelis, Syahirah Ibrahim, dia mengakui terkejut apabila dimaklumkan novelnya terpilih untuk diadaptasi.

Tidak terlibat dengan pembikinan telefilem secara keseluruhannya, Syahirah berkata, dia hanya diminta membuat sinopsis mengenai karyanya itu.

"Saya terkejut kerana tidak sangka novel saya akan dipilih, memandangkan saya bukanlah novelis terkenal seperti yang lain.

"Bagaimanapun saya bersyukur dan teruja dengan pemilihan ini dan berharap penonton terhibur menonton telefilem ini, " katanya.


Sumber : sinar harian